Senin, 03 Agustus 2009

IMAM MAHDI Khalifah Dunia BAru

Dari Nukman bin Basyir katanya, “Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap. Datanglah Abu Saklabah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, apakah kamu hafal hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafal akan khutbah baginda SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah Al-Khusyna (untuk mendengar hadits berkenaan). Maka kata Huzaifah RA, Nabi SAW telah bersabda,

“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.

Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya.

Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya.

Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.”

Kata Huzaifah RA, “Kemudian baginda SAW diam.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Ahmad bin Hanbal, Juz 4, halaman 273. Juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadits nomor 5.

Daripada Jabir bin Majid As-Sadafi RA, katanya Rasulullah SAW bersabda;

“Selepasku, akan berlaku zaman kekhalifahan. Selepas itu berlaku pula zaman Amir-amir. Selepas itu berlaku pula zaman Raja-raja dan selepas raja-raja, zaman diktator. Kemudian, seorang lelaki dari ahli keluargaku akan datang (memerintah) dan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kekejaman. Kemudian, naik memerintah selepasnya Al-Qahtani, dan demi Zat yang menghantarku dengan kebenaran, dia tidaklah jauh berbeza daripada al-Mahdi.”

At-Tabrani, Ibnu Mandah, Abu Nuaim & Ibnu Asakir

Kedua hadits di atas menyebutkan umat Islam sejak dari masa hayatnya baginda SAW hinggalah ke hari kiamat, akan melalui lima zaman pemerintahan. Walaupun istilahnya ada sedikit berbeda, maksudnya sama saja dan urutan zamannya juga sama. Kelima-lima zaman yang dimaksudkan itu berserta uraian ringkas bagi setiap zaman itu ialah:

1. Zaman Kenabian, yaitu zaman umat Islam diperintah oleh pembawa ajaran Islam itu sendiri, Nabi Muhammad SAW. Itulah zaman puncak bagi segala zaman pemerintahan, zaman contoh, zaman terbaik antara segala zaman, sejak dari Nabi Adam AS hinggalah ke hari ini. Zaman ini telahpun berlaku dan telah juga berlalu, iaitu dengan wafatnya baginda SAW pada tahun 10 Hijrah. Dalam hadits kedua, zaman ini disebutkan sebagai selepasku saja, iaitu ringkasan daripada Zaman Kenabian.

2. Zaman Kekhalifahan, yaitu pemerintahan yang berjalan berdasarkan Zaman Kenabian. Pemerintahannya adalah berpandukan benar-benar kepada wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Zaman ini dipanggil Zaman Khulafa ur-Rasyidin, khalifah yang mendapat petunjuk. Mereka adalah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar bin Al-Khattab RA, Osman bin Affan RA dan Ali bin Abi Talib KMW. Sebahagian ulama turut memasukkan zaman pemerintahan Sayidina al-Hasan bin Ali RA yang singkat itu (6 bulan) ke dalam Khulafa ur-Rasyidin. Itulah dia 30 tahun yang dimaksudkan oleh baginda SAW dalam hadisnya yang berbunyi (terjemahan) kira-kira: “Kekhalifahan akan berlaku ke atas umatku selama 30 tahun. Selepas itu, berlaku pula zaman amir-amir.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tirmizi dan lain-lain. Hadis yang kedua juga menyebutkan Zaman Kekhalifahan. Zaman ini telah berlaku menurut catatan sejarah dan telah juga berlalu daripada kita.

3. Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah), yaitu zaman yang bermula sejak turunnya Sayidina Hasan bin Ali RA sehinggalah berakhir pada tahun 1924M. Ini termasuklah zaman Umaiyah, Abbasiah, Mameluk, Fatimiyah, Tughluq, Moghul, Saljuk, Ayubiah, sehinggalah ke saat jatuhnya kerajaan Osmaniah, Turki pada tahun 1924. Zaman ini termasuklah semua wilayah yang diperintah oleh pemerintah Islam, yang memakai bermacam-macam gelaran itu seperti Amir, Khalifah, Malik, Sultan, Raja dan sebagainya. Namun terdapat beberapa orang pemerintah yang patut dikecualikan, kerana adil pemerintahan mereka. Antaranya yang lazim kita kenal ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Abdullah bin Az-Zubair, Sultan Muhammad II Al-Fateh dan Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Dalam hadis yang kedua, zaman pemerintahan ini lebih diperincikan sehingga dibagi kepada dua, disebutkan sebagai Zaman Amir-amir dan Zaman Raja-raja. Maknanya, Zaman Amir-amir itu berlaku lebih dahulu, kemudian barulah diikuti oleh Zaman Raja-raja, untuk menunjukkan lebih-lebih lagi zalimnya daripada zaman sebelumnya. Zaman ini juga telah berlaku dan kini hanya menjadi bahan sejarah bagi pengkaji sejarah, dan juga telah berlalu daripada kita, seperti urutan yang ditetapkan.

4. Zaman Diktator, yaitu zaman pemerintahan yang bermula sejak jatuhnya Kerajaan Osmaniah dan berlangsung hingga kini. Pada zaman ini, seperti yang diisyaratkan, raja-raja sudah tidak ada lagi. Yang ada hanyalah para pemimpin yang digelar Presiden atau Perdana Menteri. Kedua-duanya adalah sistem diktator, seperti yang telah diisyaratkan oleh kedua hadits di atas. Jika ada pun raja-raja, sudah tidak mempunyai kuasa penuh lagi seperti zaman-zaman sebelumnya. Zaman ini termasuklah semua pemerintah yang menguasai dunia Islam, sama ada yang menggunakan sistem imperial (kerajaan), berorientasikan partai-partai politik (Perdana Menteri), pemerintahan rakyat, sosialis atau republik (Presiden). Semuanya tidak berpandukan kepada sistem Islam yang sejati, tepat seperti apa yang kita alami hari ini. Zaman diktator ini sedang berlangsung dan insya-Allah akan diangkat oleh-Nya tidak lama lagi. Marilah kita berdoa banyak-banyak agar zaman ini segera Dia angkatkan daripada kita.

5. Zaman Kekhalifahan, yang pemerintahannya sama dengan pemerintahan zaman Khulafa ur-Rasyidin dan Zaman Kenabian. Zaman ini belum lagi berlaku, dan insya-Allah akan berlaku, karena telah disebut dan dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW, Sodiqul Masduq. Untuk menghadapi zaman ini, kita umat Islam perlulah bersedia dan bersungguh-sungguh menghadapi kedatangannya, yang tidak perlu diragui lagi itu. Antara caranya ialah dengan mengamalkan sungguh-sungguh cara hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan kita, dan menurut jejak para Salafus Soleh. Untuk membina kejayaan seperti zaman dahulu, kita mestilah mengikut apa yang umat zaman dahulu (Zaman Rasulullah SAW) lakukan – peningkatan dalaman. Para pengamal ajaran Islam akan menjadi ghuraba (orang asing), seperti yang berlaku kepada generasi awal Islam dahulu. Melalui para ghuraba inilah Allah turunkan pertolongan-Nya sehingga naik Imamul Mahdi memerintah seluruh umat Islam di seluruh dunia. Penurunan seorang khalifah oleh Allah SWT kepada umat Islam merupakan satu nikmat yang amat besar, seperti firman-Nya yang terjemahannya kira-kira begini;

“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika Dia mengangkat nabi-nabi dari kalangan kamu dan dijadikan-Nya kamu raja-raja.”

(Al-Maidah : 20)